Wednesday, January 9, 2008

Marhaban Ya Muharam 1429 Hijrah.

Selamat Jalan 1428H

Ia melambai pergi. Datangnya bersama peristiwa banjir besar di Johor dan perginya bersama puing-puing kenangan di Nagano. Setahun jaraknya, tetapi pelbagai peristiwa di dalamnya. Pahit di pembukaan, tidak sangka manis di penutupnya. Alhamdulillah, Ya Allah. Mana lagi pengucapan yang setanding dengan rahmatMu. Walau setelah jauh kaki melangkah, masih juga tetap di dalam jagaan dan peliharaanMu.

Nilai Tawakal

Hari terakhir bulan Zulhijjah, perasaan saya dibungkus bimbang. Manakan tidak, seawal sampai di kampus, Kitamura Sensei lah orang yang pertama saya jumpa. Pagi-pagi lagi istilah 'crazy' telah menjadi milik mutlak saya. Apalagi kalau bukan penangan proposal. Tetapi sensei tidak mahu mengulas lanjut. Perbincangan hanya akan dilakukan pada waktu appoinment.

Menanti detik 3.30 petang sangat menyeksakan. Entah berapa gelen air mata saya terlerai. Sempat saya solat Hajat selepas Zuhur, juga memohon sesungguh doa agar semuanya berjalan lancar. Saya sangat takut hingga saya mencapai telefon untuk bercakap dengan papa. Tidak pernah sepanjang hidup saya meminta papa menenangkan perasaan yang saya rasa. Antara sedar dengan tidak, pujukan papa adalah yang terbaik dan mampu memberikan ketenangan dan mengembalikan keyakinan.

Saya bimbangkan fokus saya tidak mengena. Saya sangat bimbang. Saya takut untuk mempertahankan objektif kajian saya. Tiada keyakinan yang menjadi tunggak selain rasa cuak, risau, ganjau yang entah datang dari mana. Teringat pada sepotong ayat Al-Quran yang menyatakan perasaan takut itu adalah perasaan yang dicampakkan oleh Allah ke dalam hati manusia. Juga terlintas ayat 'La Hau La Wa La Quwata Ila Billah ....' Hanya satu yang dapat melawan ketakutan itu, tawakal. Dengan sepenuh tawakal itulah saya meminta Allah permudahkan jalan. Paling tidak pun, Sensei Kitamura tidak naik angin dengan saya. Pesan mama ' Allahumma Yassir wala tu 'Assir' bermain-main di hati saya. Malah sempat saya membaca ayat Qursi sebelum menjengok masuk ke bilik sensei.

Alhamdulillah. Alhamdulillah Ya Allah. Engkau didik aku nilai tawakal. Mungkin bagi sesetengah orang tidak menjadi masalah apabila bertemu supervisor. Ia tidak bagi saya. Dengan kondisi penyelidikan Jepun yang sedikit berbeza, juga sensei yang mempunyai nama dan kepakaran tinggi di dalam bidang kajian, tidak mustahil saya kecut perut setiap kali ingin mengutarakan pendapat. Paling utama, saya jelas, ia adalah satu perasaan yang Allah lempar ke dalam hati saya. Ya, Allah mahu saya lebih bertawakal dan mengingatiNya hari ini.

Pertolongan dari sensei hari ini adalah datang dari pertolongan Allah yang berkuasa membolak balikkan hati. Syukur, Ya Allah. NikmatMu yang mana pun tidak mampu hambaMu ini mendustakan .......


Kesempatan bersantai dan meluahkan situasi kajian masing-masing bersama Kak Farihah dan Asyraf membuatkan saya faham bahawa semua PhD candidates mengalami masalah. Lebih-lebih lagi Ary di UK juga menyatakan perkara yang sama. Itulah yang dinamakan PhD. Ia mengajar kita erti humble and stupid sebelum kita menjadi 'seseorang' apabila pulang kelak. PhD mengajar kita bahawa doa adalah senjata bagi kekuatan.

Selamat datang 1429H

Tiada azam untuk diperbaharui kerana Alhamdulillah semuanya terhasil dengan lebih dari yang dijangka. Tiada juga azam baru dibuat melainkan harapan yang mendalam untuk beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Juga harapan agar diri terus gagah dan kuat, bukan sahaja untuk 3 tahun perjuangan ini, tetapi juga untuk tahun-tahun Hijrah yang seterusnya. Bisikan-bisikan naluri ini sudah pasti diketahui Allah lebih dari diri saya sendiri. Saya pasrahkan jalan perjuangan kepadaNya. Semoga rezeki yang tertulis adalah yang terbaik dan membawa kegembiraan hakiki dan maknawi. Amin.

p/s:

Terima kasih Tuhan,
mursyid - Mawaddah
http://www.youtube.com/watch?v=TzBFcsveRmY

2 comments:

sweetrainbird said...

Enn,
Teruskan berjuang dan berdoa.
Tabahkan hati ya!
Ganbatte!

Unknown said...

yokatta ne..