Sunday, March 30, 2008

yang dirindu

harus cari! tak sabar balik Malaysia untuk cari semua buku FT

adik dan uda

DAK24 yang dirindu.


Tidak ada yang saya cari selain jalan mencintaiNya.
Tiada yang ingin saya temu selain dari insan-insan yang mencintaiNya.
Saya ingin jadi penulis. Ingin sangat menjadi penulis sebenar sebenar penulis. Tidak kira akademik atau karya kreatif, tetaplah cinta abadi saya dalam bidang penulisan.
Kadang kala cinta kita berpaling pada fatamorgana dunia yang menyeronokkan. Kerana tidak kira di mana kita berada, kita tetap ada kelemahan.
Semoga Tuhan selalu memelihara kita dalam jalan menuntut ilmu ini. Terlalu banyak pengorbanan yang telah dilakukan, saya tidak mahu ia sia-sia.

Tuesday, March 25, 2008

seminggu yang pantas.

Seminggu tidak mengisi entry blog terasa banyak sekali cerita yang tersimpan di dada. Seminggu bertungkus lumus melaksanakan impian para insan yang ingin menjadikan majlis sobetsukai sebagai satu kenangan buat mereka, menyebabkan masa berlalu begitu pantas. Siapa pun dan walau apa pun saya, saya telah laksanakan apa yang saya termampu. Walau pun ada pelbagai rasa yang tidak dapat saya ungkaikan, ia adalah satu pengalaman hidup dalam meniti waktu-waktu kritis krisis identiti diri - mencari kematangan dan menghargai kenangan.

Hari minggu yang tidak mengenal rehat dan tugas PhD yang merupakan tanggung jawab sebenar mengajar saya mengenal diri lebih jauh. Apa itu erti sabar, ikhlas, nilai kematangan, toleransi dalam prinsip, tegas dan displin, juga nilai pengertian, saya cuba pelajari dalam seminggu yang telah berlalu.

Saya belajar bersabar dalam melihat kerenah adik-adik mendewasakan diri dengan nilai tanggungjawab. Ada yang mampu memahami, ada yang tidak. Saya bezakan dengan zaman saya ketika sebaya mereka. Sangat jauh bezanya. Mungkin jika berada di tempat sendiri, jalan untuk dilatih memikul tanggungjawab lebih luas. Mungkin ruang lingkup mempelajari erti 'penghormatan' itu lebih diperlukan berbeza dengan mereka yang kembara jauh dari bumi sendiri. Di sini, mereka tidak berpeluang untuk melibatkan diri dengan politik kampus, atau memegang amanah sebagai AJK Persatuan/Kelab, atau mempelajari menguruskan majlis formal yang betul-betul formal, yang memerlukan keseriusan dan kematangan pemikiran dan moral.

Majlis sobetsukai , terlalu banyak ruang untuk dipelajari dan diperbetulkan.

Saya cuma berpendapat, adik-adik perlu banyak dilatih dengan nilai mengerti erti tanggungjawab dan kepimpinan. Lebih-lebih lagi, menghormati masa orang lain. Terlibat secara tidak sengaja di dalam aktiviti sobetsukai ini menjadikan saya terasa saya telah tersangkut dalam perangkap masa. Ianya tidak mudah ... Pun begitu, melihat backdrop hasil kerjasama adik-adik, mencairkan hati saya yang disalut pelbagai rasa. Ia adalah kenangan! Tahniah adik-adik...tetapi langkah masih terlalu jauh.

Lawatan ke Fukui-ken

Jalan PhD bukan semata-mata mendapatkan segulung sijil tertinggi akademik itu. Aktiviti luar sebenarnya banyak mengajar kita mendewasakan diri. Sebelum majlis sobetsukai, saya berpeluang menyertai lawatan lab ke Fukui-ken. Bulan Mac begini banyak benar majlis perpisahan berlangsung. Memberanikan diri bersama-sama rakan-rakan yang semua Jepun bukan mudah. Lebih-lebih lagi pada mereka, seorang muslim itu terlalu banyak restriction dan agak leceh. Toleransi amat diperlukan dalam menjaga hubungan ini. Pun begitu, saya beranikan diri meneroka dan mencari pengalaman melihat bagaimana budaya teman-teman berbangsa Jepun. Adakalanya saya merasa tidak selesa melihat mereka mabuk.

Ada banyak peristiwa menarik ketika bersama-sama mereka. Asalnya, saya, Nakai, Shiomi dan Yamamoto satu kereta dan bermain - 'nihon go' prohibited, English only. Dek kerana terlalu menumpu pada English,Yamamoto ditahan polis 2 kali kerana memandu dengan laju dan melanggar tembok. Kasihan Yamamoto. Bad day untuknya. Saya belajar melihat kekukuhan makna persahabatan di antara mereka dari masalah-masalah yang timbul.

Sebenarnya mereka ke Fukui-ken untuk ke onsen semata-mata. Malamnya, kami makan besar dengan hidangan ketam yang lazat. Ada hiburan karaoke dari Okada dan Yamamoto kerana mereka adalah kohai di dalam lab. Kemudian senpai tertinggi Nakai dan Shiomi menunjukkan bakat. Dan yang paling menarik ialah Yone dan Machan menari. Di dalam makmal, saya paling sukakan Machan kerana dia mesra dan berkarakter. Satu yang nyata, Nihon-jin sangat rajin pesta minum dan mabuk hingga ke lewat dinihari. Saya tidur awal. Prinsip dalam agama, harus saya jaga.

Selepas pulang dari bermalam di Fukui-ken, kami ada majlis perpisahan. Minum lagi. Ternyata ada drama tangisan. Kata-kata sensei agak menyentuh hati dan ada di antara mereka yang mengalirkan air mata. Bagi makmal saya, pemergian Wada, yang satu-satunya onna bagi pelajar-pelajar master, sangat memberi kesan.

Kemudian barulah saya terpanggil, 2011 nanti, yang tinggal hanya saya sendiri. Teman-teman seangkatan yang menjadi penglipur lara - Asyraf, Kak Fariha, Firdaus-kun, Kojek, adik-adik KIT sudah pulang ke Malaysia. Di mana ada pertemuan, di situ ada perpisahan. Yang menjadi kekuatan saya adalah masa depan. 3 tahun dari sekarang, jerit perih ini akan terbayar, insyaAllah. Air mata yang tumpah akan bertukar menjadi senjata kekuatan.

Semakin jauh saya melangkah, semakin banyak saya kenali diri.

Kadang saya rasa saya kuat, kadang saya rasa saya lemah. Moga kata-kata ini ada benarnya - "yang penting bukan di mana kita bermula, tetapi di mana kita berakhir."

Minggu untuk aktiviti luar telah tamat. Masa untuk kembali bekerja. Sakura ... ia tunggu saat untuk kembang!

Sunday, March 16, 2008

ujian mematangkan diri

Terima kasih kak Amal atas respon yang diberi. Seronok saya bila ada orang sudi berkongsi dan memberi pendapat dalam ruang litup blog yang kecil ini. Walaupun jarang sekali jumpa Kak Amal tetapi rencah rasa garam dunia PhD yang telah Kak Amal rasa membuatkan saya sedar apa yang sedang saya juangkan ini bukanlah suatu perkara yang asing.

Okaeri
Teman-teman yang ke Shang-hai sudah pulang. Bising sedikit lab. Orang pertama yang saya terserempak ialah Kitamura Sensei. Dia ada bertanya tentang study saya menunjukkan concernnya kepada student. Segalanya baik-baik saja.

Cuma, saya agak terbawa-bawa sedikit dengan tugas 'membantu' melancarkan majlis sobetsukai. Hajat hati nak lepaskan diri, tetapi tidak sampai hati. Terimbau di ingatan, zaman-zaman undergraduate yang indah dan seketika saya terhukum dalam memori. Zaman itu memang penuh harapan - harapan - ada yang tertunai dan ada yang tidak. Dan yang tidak itu - sangat perit untuk dikenang. Sigh!

Aktiviti luar.
Satu perkara positif, nampaknya adik-adik tidak berminat sangat dengan tema cinta tetapi lebih kepada tema jatuh bangun hidup yang mendewasakan. Sebenarnya saya lebih suka jika drama yang membina dipersembahkan berbanding kisah cinta yang stereotype.Kalau boleh persembahan biarlah sesuatu yang membangkitkan naluri yang tidur...well....satu malam tak tidur. Agak sia-sia kerja menulis tanpa mengetahui kehendak client. Tetapi adik-adik nampaknya sudah mula 'bergerak'. Dan saya perlu lebih laju dari segi management masa dan emosi.

APRU bulan november 2007, satu lagi aktiviti untuk student postgrade yang menarik minat saya. Walaupun penat, saya memang tidak pernah serik!! Dan hati bagai ditarik-tarik ....

p/s*
Persoalannya...antara minat dan kemampuan.

Saturday, March 15, 2008

Tenang - tenang petang Ahad

Subhanallah, cuaca yang indah untuk hari Ahad yang cerah. Saya sendirian di lab. Sebelum memulakan kerja yang belum selesai, saya ringankan tangan melaporkan rentetan perjalanan hidup seharian. Bukan selalu rasa damai dapat bertandang .... Sendirian itu indah bila muzik Keroncong Untuk Ana menyapa halwa telinga.

Sentimental saya hari ini mungkin sorotan dari hasil kerja saya menyiapkan skrip persembahan untuk sobetsukai sehingga subuh tadi. Asalnya, kisah cinta cintun remaja bukan matlamat saya kerana saya rasa jalan cerita berlandaskan semangat perjuangan lebih elok diketengahkan. Tetapi idea dari `orang lama` yang menetap di bumi Jepun ini mengarahkan saya menghasilkan plot drama percintaan remaja awal 20-an. Mungkin sinonim sekali dengan kehidupan adik-adik yang undergraduate dan cerita begini lebih dekat dengan jiwa mereka.

Hasilnya, saya sendiri berdebar-debar membaca skrip tulisan saya. Memang cerita cinta stereotype terasa dekat. Saya sudah buat yang termampu. Saya serahkan kepada adik-adik yang lain melakonkan watak-watak dalam kisah cinta tak kesampaian berunsur komedi ini.

Tenang-tenang saya mungkin hanya di permukaan. Overview yang perlu saya buat belum saya producekan sebaik saya hasilkan skrip persembahan. Alangkah bagusnya jika saya dapat menulis laporan kepada sensei dalam bahasa terindah hanya untuk satu malam seperti yang saya lakukan untuk skrip tersebut. Bahasa English adalah kekangan untuk saya.

Kadang kala saya cemburu dengan teman-teman yang belajar di UK.Saya agak di UK ada banyak kelas-kelas persediaan yang mampu meningkatkan tahap konfidensi. Bincang-bincang saya dengan Asyraf dan kak Farihah di dalam densha semalam membuatkan saya mengerti bahawa bukan saya seorang yang mengalami masalah menguruskan plan PhD. Sensei di Jepun tidak akan menunjukkan arah mana yang harus dituju dengan memberikan kompas, tetapi sekadar peta yang penuh dalam kanji untuk pelajarnya mencari arah sendiri.

Petang ini, walaupun mungkin tidak produktif, saya akan cuba melakukan sesuatu. Tiada bantuan dan pertolongan yang sangat saya harapkan selain bantuan dari Nya untuk memandu jalan hidup saya di sini. InsyaAllah.

p/s*
Credit to Raygour.
Sepetang bersama koleksi lagu M.Nasir. =)

Tuesday, March 11, 2008

Sains sosial dan kejuruteraan awam.

Cuaca yang indah menyapa bumi Kyoto. Langit cerah menandakan sudah masuknya musim bunga.

Ada sesuatu yang tidak saya fahami tentang research saya kerana ia bukan sesuatu yang telus mengenai kejuruteraan awam. Malah perbualan dengan Prof Tajudin suatu malam minggu lepas menyebabkab saya mula mencari makna yang tidak saya fahami ini.

Benar ia lebih kepada sains sosial daripada kejuruteraan, dan saya sedang cuba memahami korelasi antara dua bidang ini dan apakah kesannya. Kebanyakan universiti di Jepun mempunyai bidang Social Engineering ini termasuk Osaka University, Tsukuba University dan Tokyo Science Institute dan Technology. Dan mungkin juga makmal saya ini. Saya sendiri tidak pasti.

Sains sosial lebih menekankan faktor manusia, masyarakat dan polisi, psikologi, ekonomi dan sosiologi. Pemberat untuk jurnal dalam bidang sains sosial ialah 3.4. Kejuruteraan di dalam bidang sains sosial lebih kepada urusan matematik dan statistik. Dan pemberat jurnal kurang daripada sains sosial.

Apabila menyedari hal ini, saya rasa sedikit lelah. Jalan akademik saya tidak pernah membulat. Walaupun jika ada jurnal terhasil untuk sains sosial, jalan untuk naik pangkat lebih cerah, tetapi.....Dari kejuruteraan alam sekitar, saya berkolek ke kejuruteraan pengangkutan dan kini saya mengait kajian di dalam kejuruteraan sosial ( walaupun masih di dalam bidang kejuruteraan dan pengangkutan)

Jalan yang tidak memfokus ini membuatkan saya letih dan cepat keliru dengan apa yang saya buat. Di manakah para ilmuan dan tok guru-guru nya. Saya inginkan penjelasan dan perdebatan.

*tidak mungkin saya dapat mempersoalkan ini dengan Kitamura Sensei. Dia akan kata saya hanya bertanyakan soalan bodoh dan tiada kaitan dengan kajian saya. Saya sudah kata sensei saya strict. Saya rasa sunyi untuk diskusi ilmiah.

Sunday, March 9, 2008

muhasabah diri



Bila ada gelombang baru,
Bermakna sudah sampai masa,
untuk kita muhasabah diri.

Kita.
Kita semua.

Thursday, March 6, 2008

Mood lama terus segar.

Kehidupan seharian semakin terurus walau belum mencapai tahap istiqamah yang di inginkan. Selagi internet di depan mata, selagi itu kuat merayaunya. Mood nasyid terus segar. Tak terasa diri berada di Nihon bila bersendirian di dalam bilik. Buku-buku dipesan dari Amazon telah sampai. Walau tidak 24 jam, 2 jam pecutan mengeluarkan kualiti pun sudah memadai buat permulaan ini. Saya tidak mahu terlampau memaksa diri. Nanti makna istiqamah mudah hilang. Hidup bukan untuk PhD semata bukan?

Pandang hidup sesudah 3 tahun nanti, jika dipanjangkan usia insyaAllah. Buat kawan yang sedang dalam keserabutan, jangan dibiar jiwa yang resah terus meronta, cari tenang di medan damai. (Kira kau tahu di mana tempatnya.)

Melayan mood segar dengan FarEast.

Melakar Cinta Di Pintu Syurga
Album : Kompilasi Lirik Terbaik Ito Lara

Munsyid : Far East
http://liriknasyid.com

Berdirinya aku di daerah zulumat
Mengutip titis doa di malam rahmat
Bersama renai kasih yang menguyur
Ingin melakar cinta di syurga
Sesungguhnya cinta yang ku galas dulu
Hanya cinta semusim wangi sekejap
Harumnya takkan sampai ke penghujung
Indah mekarnya hanya di kuntum
Sedangkn taman-Mu amat indah
Tiap penghuninya dikurniai rahmat
Datang berbekal amalan
Tanpa sepalit noda
Setelah kian lama mengatur jejak langkah
Makin fasih mentafsir liku hidup
Diri terlepas bebas dan leka tanpa batas
Bagai menabur benih sang hilalang
Bendang-terbendang hampar padinya
Dimusnahi bena
Aku yang terpedaya
Hijrahkan aku dengan hati putih
Kembali berpaut pada akal budi
Pasrah bersujud dibawah naungan
Langit kesedaran
Moga terlakar cintaku dipintu syurga

p/s:
Kawan,
Apa yang telah terlepas dari tangan sememangnya bukan milik kita,
Dan apa yang sedang kita genggam belum tentu tidak terlepas,
Apa yang menjadi milik kita, walau melayang ia akan datang jua,
Dan walau bagaimana terhalang ia tetap akan mendatangi.
Allah Maha Adil, bersihkan hati dengan khusnuzdhan padaNya.

Monday, March 3, 2008

Buku statistik dari Uda





Apa yang saya hendak katakanlah ialah bertuah saya mempunyai adik-adik yang semuanya sealiran dengan saya walaupun berlainan bidang. Buku statistik kiriman adik perempuan saya yang diterima hari ini sangat berguna walaupun kami tidak tahu siapakah empunya buku statistik ( Statistik Asas UiTM) ini sebenarnya. Ia hanya berada di dalam almari buku di rumah sedangkan tidak ada seorang pun di antara kami (saya, syahir dan humairaa) yang pernah menuntut di UiTM.

Whatever pun, harapan saya agar Syahir lebih fokus pada kerjanya dan cepat-cepat matang, Humairaa dapat universiti yang baik untuk sambung ke Ijazah Sarjana Muda (saya harap UTM kerana dekat dengan rumah), dan adik Syahmi dapat score yang terbaik untuk SPM! I love my siblings!

orang demam kita pun demam



"keris ada bermacam keris. mungkin ada yang nak menukarkan keris dengan senapang patah, atau short-gun, atau laser atau apa-apa saja."

" jangan dibuang pusaka lama. nanti Muzium of London kutip dan dipamerkan jadi bahan sejarah."

"keris kalau tumpul siapa pun tak nak. tapi keris kalau diasap dan digilap setiap malam Jumaat kliwon siap dengan kemenyan kain kuning malah diturun pada bukan calang-calang Tuah dari guru silat Adi Putera, keris akan tetap jadi lambang kekuatan."

"mungkinkah yang silap bukan keris tapi yang memegang keris?"

p/s:

antara tokoh politik yang saya gemari kerana namanya sahaja Hishamuddin TUN HUSSEIN ONN. Hidup keris.

bukan Kerispatih.

Sunday, March 2, 2008

Meeting pertama dengan sensei sesudah entrance exam.

Hari ini sensei meragui keupayaan jalan research saya. Bagaimana cara saya hendak mengumpul data dari Malaysia. Sensei kata saya hanya tahu bercakap dan dia mesti hati-hati dengan saya.

Saya sudah kata sensei saya `strict`.

Dalam soal research ini, saya memang tidak ada kebolehan kerana belum sempat satu research ditamatkan saya telah pergi `memberanikan` diri `kamikaze` di Jepun. Satu kelemahan saya mungkin kerana saya kadang-kala terlalu positif yang saya mampu membuatnya! Aduhai!Aduhai!

Sekarang saya memang perlu buat kontek di MIROS, UTM, UPM atau UKM, dan USM jika benar-benar inginkan data yang `excel`. Ada satu suara dalam diri yang menyatakan Sabahiah, kau boleh buat dan data ini jika dapat dikumpulkan bukan sahaja berguna untuk PhD, malah untuk kajian selepas itu.

Mata saya mula berair. Mampukah untuk melangkah sejauh yang di imiginasikan.

Nan Jikan Gurai Kakarimashita?

Ini ialah kanji masa;
Saya percaya kejayaan sebenar tidak akan dikecap selagi kita tidak pandai mengurus masa dan mengisikannya dengan perkara-perkara berharga. Saya juga percaya kejayaan sebenar tidak akan dicapai tanpa nilai ISTIQAMAH.

Apa kata jika saya mula membuat eksperimentasi terhadap diri dengan menyenaraikan semua perkara berfaedah yang ingin dilakukan sepanjang minggu mengikut jadual. Ia mencabar seorang saya mempunyai kadar fokus yang rendah ini. Tetapi saat meluap-luapnya perasaan sebagai seorang "researcher" dan juga meluap-luapnya rasa ingin menghabiskan zaman PhD yang mengongkong rasa rindu dendam untuk pulang, mari kita buat eksperimen pada diri! Mari!
Senaraikan semua perkara yang ingin dibuat.

1. Bangun subuh awal + mathurat.
2. Puasa Isnin + Khamis ( sekali dalam sebulan pun cukup ler!)
3. Setiap Ahad - Doa Haikal
4. Setiap Malam Khamis - Yaasin
5. Setiap Jumaat pagi - Surah Ar-Rahman/Al-Waqiah/Al-Kahfi bergilir.
6. Setiap malam Rabu - Revision Nihon Go
7. Sekali dalam sebulan mesti revision penulisan karya kreatif/ asli pada Sabtu dan Ahad.
8. Setiap hari baca journal dan belajar analisis statistik. ( Aduh! Masalah fokus)
9. Jadual waktu sekolah ( lepas zuhur hingga 7.30 malam) atau (seawal 8.30 pagi hingga 5 ptg)
10. 9.00 malam ke atas - waktu study ikut jadual.
11. azam tidur sebelum pukul 12.00malam untuk senang bgn subuh!
12. Khamis malam - masa untuk TV/Movie
13. Solat Hajat setiap hari -> istiqamahnya melambai Istikharah.
14. Hafazan surah?

Mampukah saya? Sama-sama kita lihat hasil eksperimennya.

Kata HMTuah
Senaraikan apa yang terlintas,kita akan mudah mengenalpasti tahap pencapaian kita.

p/s:
...sementara graf sedang elok.
tipsnya - datang ke lab sebelum orang lain datang!