Sunday, September 28, 2008

Jalan-jalan HK

Alhamdulillah, saya telah selamat menjejakkan kaki ke bumi Malaysia. Hari ini adalah hari lahir saya yang ke 28. Tidak terasa seperti ada sesuatu yang istimewa, kerana pengalaman sebelum pulang dan perasaan dapat kembali semula ke Malaysia lebih istimewa.

HK hari pertama.

Perjalanan 3 hari di Hong Kong bila difikir-fikirkan kembali banyak memberi pengalaman yang mengesankan. Hari pertama tiba di Hong Kong kami disambut oleh hujan yang sangat lebat kerana typhoon yang melanda kepulauan itu. Kami menaiki bas 2 tingkat dengan tambang yang berharga 32dollar HK dari HK International Airport menuju ke bajet hotel - USA Hotel, Mirador Mansion di Nathan Road. Sebaik sahaja turun dari bas, ada ramai ulat-ulat hotel mencari pelanggan. Agak mencabar juga perjalanan mencari hotel di dalam hujan yang lebat dan suasana Tsim Tsa Tsui yang hiruk pikuk, sempit dengan orang, juga cuaca yang buruk. Memang mendokusai !

Setibanya kami di bilik hotel, kami tidur kepenatan setelah solat jamak qasar. Akibat kelewatan dalam perjalanan mencari hotel, agenda petang itu kami ubah. Satu jam sebelum berbuka puasa kami keluar berjalan-jalan di sekitar Tsim Tsa Tsui. Hanin dan Yana memulakan operasi mengambil gambar. Kami berjalan kaki hingga ke kawasan berhampiran dengan station MTR Jordan. Memang kepenatan kerana berpuasa. Petang itu, kami berbuka di McDonald dengan makanan yang kami tapau dari Cathay Pasific.

Pada malam harinya, kami cuba menjejak Ladies Market. Tetapi malangnya, kebanyakan kedai ditutup awal akibat typhoon. Kami yang kepenatan, agak kecewa kerana agenda hari pertama tidak menjadi. Malam itu, akhirnya kami pergi menonton wayang. Hanin, Yana dan Asyraf tertidur kepenatan. Hanya saya yang gagah menonton, walaupun asyik tertanya-tanya motif cerita dan tak sabar menanti cerita berakhir. Situasi HK cukup berbeza dengan Jepun. Orang-orangnya tidak peramah dan kawasan sekitarnya kotor, mengundang rasa tension dan stress. Kami sempat melihat layar-layar iklan di bangunan kedai dipukul angin typhoon. Sebelum pulang ke hotel, kami singgah ke McD untuk membeli sahur.

HK hari kedua.

Perancangan hari kedua sebenarnya ialah ke Macau. Tetapi typhoon masih belum surut. Hujan di luar masih lebat. Tetapi kami mesti keluar dari hotel yang tidak bertingkap itu. Apabila tinggal di bajet hotel, adalah sangat tidak sesuai untuk duduk diam di dalamnya lama-lama. Jadi, kami mengambil keputusan untuk ke HK Island dengan menaiki MTR. Kami meronda-ronda di kawasan membeli belah di HK Island dengan menaiki tram di dalam bandar. Tram ini berfungsi seperti bas tetapi berada di dalam landasannya sendiri. Tambangnya murah 2HK dollar sahaja. Kami ke Sogo dan menjamu mata. Barang-barang di HK agak mahal juga. Rasa tidak selesa untuk bershopping kerana kualiti barang-barang di Jepun lebih dipercayai. Juga, pelayan kedai di HK yang tidak mesra menyebabkan saya banyak kali berfikir untuk membeli. Kemudian, kami beramai-ramai mengambil kesempatan mencuba mengurut kaki. Maklumlah, dengan keadaan hujan dan berpuasa, kaki menjadi lenguh, jadi kami cuba urutan gaya HK. Sekurang-kurangnya Asyraf dapat tidur lena lagi selama 70minit!!!

Yang paling seronok untuk hari kedua ialah melihat pemandangan HK dari atas Victoria Peak. Untuk naik ke atas, kami menaiki bas. Kami membeli sedikit omiyage untuk keluarga di sini. Kakak kedai sangat bengkeng. Agaknya tentu tertekan menjadi orang HK! Kami berbuka puasa di Gump Restaurant yang menyediakan pelbagai jenis menu udang. Harganya – agak mahal tentunya. Kemudian, kami berpeluang melihat Symphony of Light dari atas Victoria Peak. Bandar HK disimbahi cahaya neon yang indah merupakan satu tarikan pelancongan pulau ini. Tetapi awan masih berarak laju di atas, membawa angin typhoon. Setelah habis melihat Symphony of Light, kami masuk ke Madame Teussade untuk melihat patung-patung tiruan orang-orang terkenal. Cita-cita saya bergambar dengan Andy Lau terlaksana akhirnya, walaupun hanya dapat memeluk patung !

Kami turun dari Victoria Peak menaiki tram. Kami berjalan lagi mencari station MTR untuk kembali ke Tsim Tsia Tsui. Hanin telah mengambil beribu-ribu gambar bangunan yang dihiasi lampu-lampu yang cerah. Kami untuk kesekian kalinya singgah di McD, untuk makan Fillet O Fish. Letih….sungguh letih. Tetapi kami bercadang untuk meninggalkan hotel sehari lebih awal dan meletakkan luggage di airport pada keesokkan hari. Bimbang jika tidak berbuat demikian, kami akan terlewat untuk sampai ke airport pada pagi 26hb. Maklumlah, kemudahan pengangkutan tidaklah secekap di Jepun. Tambahan pula, kami belum arif dengan sistem di situ, takut nanti tidak sempat sampai pada waktunya.

HK hari ketiga.

Kami bersiap-siap meninggalkan USA hotel pada awal pagi. Dengan menaiki bas 2 tingkat, kami meninggalkan Tsim Tsia Tsui menuju ke lapangan terbang. Ketika meletakkan barang-barang di tempat luggage, beg Hannin ditahan kerana membawa pedang samurai. Habis satu beg diselongkar oleh kastam HK. Seusai itu, kami bersolat jamak qasar di airport dan menaiki bas menuju ke HK Disneyland. Tujuan kami ialah booth yang menjual barang-barang Disney tanpa perlu memasuki perkarangan Disneyland seperti yang ada di Tokyo Disnyeland. Malangnya tiada booth ditempatkan diluar tempat masuk. HK Disneyland juga tidak semeriah Tokyo Disneyland. Suram saja. Tetapi Hanin dan Yana, gagah beraksi, bagaikan model majalah pula!
Kami seterusnya menaiki kereta kabel terpanjang di Lantau. Puas hati dapat menikmati pemandangan dari atas dan hampir serata kepulauan Hong Kong. Ada satu patung Budha yang sangat besar dapat dilihat dari arah kereta kabel Ngok Ping ini. Kami menaiki kereta kabel untuk perjalanan pergi dan pulang dari atas puncak bukit.


Untuk hari yang ketiga ini, kami singgah di IFC Mall dan juga Ladies Market. Tak banyak yang dapat dibelanjakan kerana rasanya shopping di Jepun lebih seronok dan selesa. Malam itu juga, gigih kami mencari Toilet Restaurant yang sangat diimpikan oleh Hanin. Kalaulah anda dapat lihat kegigihan Asyraf menyempurnakan impian Hanin, pasti anda rasa terharu! Memang sukar untuk mencari di mana lokasi restoran itu, tetapi akhirnya dapat juga kami makan aiskrim di dalam mangkuk berunsurkan mangkuk tandas. Terlalu banyak aiskrim sehingga tidak habis!

Akhir sekali, kami menaiki star ferry cruise merentasi kepulauan-kepulauan Hong Kong. Sungguh cantik panorama bangunan-bangunan di Cuauseway Bay dan HK Island. Bak seperti yang tertulis di dalam buku HK and Macau Lonely Planet, percutian di HK tidak akan lengkap sekiranya tidak menaiki feri tersebut. Setelah itu, barulah puas hati kesemua kami dengan percutian di HK. Walaupun sangat meletihkan tetapi ia satu pengalaman yang menyeronokkan. Malam itu, kami lepak di lapangan terbang, tidur di atas kerusi-kerusi meunggu. Saya memang sangat keletihan dan tertidur lebih awal dari mereka bertiga yang lain.

Malaysia!

Kami bersahur dengan maggi, tuna dan roti pada keesokkannya. Setelah itu, ke empat-empat kami lena sebentar menanti subuh. Memikirkan kami akan pulang ke Malaysia, hati jadi segar semula. Perjalanan kembali ke Malaysia banyak meninggalkan memori buat saya. Akhirnya kami menjejakkan kaki kembali ke KLIA. Papa dan mama menjemput saya pulang kali ini. Hanin perlu menanti penerbangan seterusnya ke Pulau Pinang pada petang hari. Yana pula perlu menaiki air asia untuk pulang ke Kelantan. Asyraf kembali ke Kedah sehari selepas itu bersama-sama keluarganya yang lain.

Bagi yang teman-teman yang tinggal beraya di Kyoto, saya harap Hari Raya tetap disambut penuh kesyukuran. Tidak kira di mana kita berada – sama-sama kita menginsafi kekhilafan dan bermaaf-maafan. Untuk itu, salam kemaafan dari hati yang terdalam buat semua yang membaca blog ini. Terima kasih dari hati. Salam Aidilfitri. Maaf zahir batin.

p/s
Gambar2 akan diupload kemudian.

Saturday, September 13, 2008

kereta kami

Ramadhan sudah sampai ke pertengahan. Alhamdulillah, hari ini saya berkesempatan mencoret setelah kian membiarkan laman blog ini. Kami di sini semakin sibuk setelah mempunyai baby girl yang baru.

Honda Odessey kami (!)


Honda Odessey ini adalah hasil sepakat saya dan kawan-kawan untuk berkongsi sedikit wang bagi kemudahan komuniti di sini dan juga tujuan untuk ryokou yang akan datang. Jika ditukar kepada harga RM, ia mencecah RM6000 sahaja. Antara expenses lain yang kami perlu berkongsi ialah minyak, parking dan insurans. Lokasi parking di Jepun, khasnya Kyoto tidak sama seperti di Malaysia. Dek kerana kekurangan tanah, harga parking sangat mahal dan selalunya bagi yang tinggal di mansion, parking akan diletakkan lebih kuran 2km dari kediaman. Lot-lot parking mempunyai tuan tanah yang tersendiri dan sewa perlu dibayar setiap bulan kepada tuan tanah. Harga minyak yang paling murah pula ialah 168yen seliter. Untuk tangki minyak mantang, kosnya dalam anggaran 8000yen.


Honda Odessey di parking lot berharga 12000yen sebulan (!)

Parking kereta kami berada agak dekat dengan stesen keretapi Katsura bagi memudah sesiapa yang ingin menggunakannya. Memandu di jalan raya Jepun bagi saya adalah menyeronokkan kerana setakat ini, tiada pemandu yang bertindak mementingkan diri sendiri. Amalan bertimbang rasa kepada pejalan kaki dan penunggang basikal sangat-sangat diamalkan. Menjaga kelajuan dan keselamatan adalah satu perkara yang penting. Rear seat belts juga memang sedia lengkap ada pada setiap kereta. Automatiknya, sikap mengetatkan tali pinggang pun diamalkan. Ini sangat berbeza dengan sikap saya sendiri ketika memandu di Malaysia. Tetapi insyaAllah, saya akan cuba amalkan perkara yang baik yang saya pelajari di sini.

Sepanjang beberapa minggu kami bersama kereta ini, perjalanan yang paling jauh ialah menghantar Rahida ke Osaka International Airport untuk bercuti. Minggu hadapan, giliran saya dan kawan-kawan yang lain pula akan pulang ke Malaysia untuk berhari-raya, seorang demi seorang.

Bagi yang tinggal, pasti tetap bersama-sama cuba memeriahkan suasana hari raya. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran Dr Mail. Minggu-minggu Ramadhan tidak terasa kesunyian lebih-lebih lagi pada hari minggu kerana memenuhi undangan berbuka puasa. Alhamdulillah, setelah genap setahun saya di Jepun, saya akan pulang untuk bertemu keluarga yang tercinta.


Antara warga Kyoto yang akan ditinggalkan untuk berhari raya; Firdaus, Dr Mail dan Kojek (gambar ketika menyambut awal Ramadhan di kediaman Dr Mail di Uji)


Walaupun begitu, masalah research masih lagi menjadi satu beban yang berpanjangan. Hati sentiasa runsing dan benak selalu buntu memikirkan jalan penyelesaian. Tajuk Phd saya memang susah. Tetapi, sesiapa pun akan membuat pernyataan yang sama. Pada Ramadhan ini saya pohon sangat-sangat agar dipermudahkan jalan untuk PhD dan masa-masa depan. InsyaAllah. Panjang umur, saya akan mencoret lagi.

Salam Ramadhan Al Mubarak.

*Kotoba

mantang - penuh

ryokou - bercuti