Monday, February 18, 2008

Kembara di 'negara yang ingin saya lawati.'


Pengisian sebuah 'sekolah hidup' tidak sama dengan jalan-jalan yang disusuri dalam sekolah akademik biasa. Sekolah hidup meminta kita belajar dari seluruh panca indera yang dikurniakan Tuhan. Walau sukar bagaimana pun peperiksaan dalam sekolah hidup, jika niatnya dan misinya demi Allah, insyaAllah, keputusannya ialah cemerlang dunia dan akhirat.

Kembara ke Kumamoto asalnya cuma sekadar satu lawatan biasa buat keluarga Abang Amir, Kak Mar dan Amar anak mereka. Tetapi, ajakan mereka agar saya ikut sama, saya sambut dengan baik sebagai satu peluang melihat tanah Nihon ini. Perjalanan yang mengambil masa yang panjang ( bertolak pukul 5.30 petang Jumaat dari Kyoto dan tiba 7.00 pagi di Kumamoto) memang memenatkan. Apatah lagi Abang Amir seorang yang memandu. Banyak kali juga kami berhenti untuk memberi peluang pada Abang Amir berehat sepicing dua.

Keluarga Suga ( Mama Toyoko dan Suga Sensei) telah lama menanti dan amat bimbangkan kami. Kerap kali juga Mama Toyoko menelefon Kak Mar dalam perjalanan. Ketidak fasihan dalam NihonGo kadang-kala memberi cabaran dan membuatkan saya berazam untuk praktis lebih banyak kaiwa. Dapat peluang untuk homestay bersama keluarga Nihon memang sangat mengujakan dan satu pengalaman yang berharga. Terima kasih Kak Mar dan keluarga kerana memberi saya peluang ini.

Kami sampai pukul 7 pagi dan terus dijamu dengan sarapan. Kami bertemu dengan David seorang pekerja kebajikan dari Helen & Douglas House UK. David mengadakan lawatan dan sesi seminar bersama-sama teman-teman dari Europe yang lain untuk rumah-rumah kebajikan di kawasan Kumamoto. Seorang lagi teman David bernama Gary, dari New Zealand merupakan OKU yang sangat handal bermain tenis dan telah memenangi 3 kali kejuaraan terbuka di Jepun. Kami juga ditemukan dengan Kojima San yang mengidap polio.


Gary, saya, obaasan, dan David di rumah Oasis, Kumamoto.


Lawatan yang pertama ialah ke rumah orang-orang tua Oasis. Rumah jagaan orang-orang tua ini sangat selesa dan mereka sangat gembira dengan kehadiran kami. Lebih-lebih lagi dengan adanya Amar yang aktif dan keletah. Penghuni yang paling tua di rumah ini berusia 92 tahun dan masih sihat berjalan, mengait dan boleh mendengar dengan baik. Hati saya jadi begitu rindu sekali pada kedua-dua nenek yang saya ada. Jika saya diberi peluang, saya ingin menjadi pekerja khas di rumah jagaan seperti itu.




Yuki-chan dan saya di tepi kawah Mount Aso



Kami seterusnya menuju ke Mount Aso yang sangat terkenal di Kumamoto. Ia adalah kawasan gunung berapi yang mempunyai kawah walaupun tidak aktif. Saya dan Yuki-Chan bergambar sakan. David dan Gary juga. Saya akan update gambar-gambar menarik di fotopages jika saya ada kelapangan. Landscape di Mount Aso sangat indah dan suhunya sejuk sekali. Terasa begitu hampir dengan alam, meski pun badan masih letih akibat perjalanan yang jauh. Seterusnya kami ke taman Suizenji yang sama cantik dengan taman di Nara. Memang Jepun sangat kaya dengan landscape zen yang berseni. Sayang, kamera saya mula kehabisan bateri.




Saya dan Kojima San di Suizenji Park



Malam itu, kami ada makan besar. Sebaik saja kami pulang Mama Toyoko telah menyediakan masakan yang pebagai. Kami menanti kawan-kawan Mama Toyoko yang lain antaranya, Tomoko, Ako-Chan dan suami ( baru berkahwin), Mitsumi dan anaknya Kenyuu, Doi San dan isteri, Hakasei San ( saya lupa nama beliau) dan pelajar-pelajar Malaysia dari Kumamoto University ( Nikman dan kawan-kawan). Kami berkenalan sambil makan. Menjelang 12 malam, ada di antara tetamu yang beransur pulang. Tetapi apabila Yuki-Chan yang baru pulang dari kerja datang menyinggah, Mama Toyoko menyalai daging pula!!!!!!! Oishikatta!!!! Lewat 2 pagi baru saya masuk tidur. Abang Amir, Nikman dan kawan-kawan, Kojima San, Yuki dan Mama Toyoko masih bersembang.

Walaupun tidur selesa tetapi saya telah mula didatangi selsema dan sakit tekak. Maka keesokkan paginya, saya sukar untuk bangkit dari katil. Saya gagahkan juga walau sejuk suhu di Kumamoto mencengkam tubuh. Mama Toyoko menghidangkan sarapan pagi yang enak untuk lawatan kami yang seterusnya ke Kumamoto Castle yang ditemani oleh Suga Sensei. Ketika melawat Kumamoto Castle, saya berazam untuk melawat setiap castle yang ada di setiap perfecture selepas ini. Setiap castle mempunyai cerita tentang empayar yang tersendiri, juga cara pertahanan yang tersendiri. Pembinaan setiap castle juga sangat unik!!!! Terasa benar-benar saya di Jepun sekarang. Hobi baru sudah muncul. Saya tahu benar diri saya yang sangat sangat sukakan sejarah tamadun dan peradaban dunia. Seketika terasa saya tersilap bidang kerjaya. Walaubagaimanapun, jika tidak kerana kerjaya saya ini, mungkin saya tidak berpeluang melihat apa yang saya sukai. Segala-galanya ada hikmah sendiri.




Saya dan Amar di depan Kumamoto Castle



Ketika makan tengah hari yang disediakan oleh Mama Toyoko ( tempura), Yuki datang untuk mengucapkan selamat jalan. Kami sempat bergambar dan banyak juga soalan tentang Nihon no bunka yang kami tujukan buat Mama Toyoko. Suga sensei kelihatan sangat sayang pada Amar tetapi Amar agak sukar didekati laksana jinak-jinak merpati. Suga sensei menghadiahkan Amar dan Abang Amir Cd cerita-cerita rakyat Jepun yang sempat saya tengok malam sebelumnya. Menarik!!! Saya akan cuba cari Cd itu atau pinjam dari Kak Mar bila ada kesempatan nanti.


Suga Sensei, Mama Toyoko, Abang Amir , Kak Mar, saya dan Yuki - Chan.


Perjalanan pulang juga meletihkan. Sangat jauh untuk tiba ke Kyoto, itu yang saya rasa. Tetapi, pengalaman ini sangat berharga. Walaupun saya kembara ke Jepun untuk melaksanakan tugas sebagai seorang pelajar PhD, saya tidak mahu lepaskan peluang untuk merasai dan mempelajari Nihon no bunka yang saya minati sejak kecil.

Saya masih ingat ketika berusia 11 tahun, saya diminta menulis karangan oleh kawan ibu saya (kelas tuition Bahasa Melayu) yang bertajuk Negara yang ingin saya lawati dan saya memilih Jepun. 17 tahun kemudian, karangan itu telah pun menjadi lengkap. Impian masa kecil telah pun terlaksana,bahkan ia hanya baru bermula.

Senyum.

p/s:

Apa yang terdetik di dalam hati, adalah Kun Fa Ya Kun milik Allah. Dia Maha Mengetahui jalan mana yang bakal kita susuri. Maka, ambil masa untuk dengar apa bicara hati. Cinta yang akan bersatu adalah cinta yang datangnya dari naluri yang sama. Berjalan, melihat dan mentafsirlah ...

4 comments:

M. H. Jabbar said...

wah..seronok betol jln..hehe.. :-)

sapphire said...

seronok la hairol,
berjalan sambil menimba ilmu
:-)

M. H. Jabbar said...

boleh tulis buku ttg life kat jepun nnt ek bile blk mesia....

:-)

(aku asyik fikir nk tulis buku je..hahaha)

sapphire said...

sgt boleh hairol...klu aku cukup cekal.

btw, mana kau menghilang..
motivasi aku menurunla sekarang nih.

update blog la bro.

(aku pun sama, tapi self management aku hampeh)

:-(