Friday, July 18, 2008

papa ...

........

Hari ini memang seharusnya menjadi hari yang indah. Saya berjaya ke lab, meneliti dan membaca istilah yang kadang-kala tidak saya fahami. Saya masih ada 2 minggu untuk sintesiskan LR yang telah saya lakukan sebagaimana yang diarahkan sensei. Perasaan yang agak selesa berada di lab pada hari ini.

Saya pulang ke rumah sebaik sahaja saya mulai terasa lapar. Hajat di hati hendak memasak seperti biasa. Sebelum itu, sempat saya relaks kan diri,makan coklat sambil menonton TV3 secara online siaran Al-Kulliyah dengan tajuk akad nikah. Saya jadi sedikit excited. Dalam usia begini siapa yang tidak terfikir untuk berkahwin. Lantas saya teringatkan mama yang rajin menonton siaran Al-Kuliyyah petang-petang begini. Berangan-angan jika suatu hari ada rezeki saya berkahwin, papa akan jadi walinya. Saya telefon ke rumah dengan girang.

Tetapi apa yang saya jangkakan tidak berlaku. Adik yang mengangkat telefon. Papa dimasukkan ke hospital lagi. Kali ini di Southern Hospital Melaka. Adik tinggal sendirian di rumah. Mama dan Uda menemankan Papa di hospital. Segera saya membuat panggilan terus kepada Papa.

Kali ini injap jantung Papa dikenalpasti mempunyai kuman yang menyebabkan berlakunya pembekuan darah. Ada masanya darah yang beku tertanggal dan masuk ke dalam kitaran darah menyebabkan Papa selalu rasa sakit dan lesu. Saya rasa Papa cuba menahan sebak ketika bercerita. Saya tahu....

Apa yang saya kesalkan, saya selalu ditakdirkan untuk tidak ada bersama keluarga saat-saat begini. Saya selalu menjadi orang yang berada jauh saat mama perlukan orang untuk membantu. Papa akan ditahan di wad selama 2 minggu. Jika kuman yang ada tidak dapat dihilangkan secara ubatan biasa, Papa akan menjalani major operation. Saya kenal Papa saya. Dia mesti takut. Dia takut sakit. Tapi Tuhan biasanya menguji apa yang paling kita takutkan.

Alhamdulillah, hikmah Uda dapat sambung degree di UTeM Melaka. Dekat untuk jengok-jengok Papa pada hari-hari biasa. Kasihan mama, urusan sekolah dan Syahmi yang perlu menghadapi peperiksaan SPM tahun ini.... Saya selalu ditakdirkan untuk tidak ada bersama-sama keluarga saat diperlukan. Walaupun Uda selalu kami anggap degil, tapi, dalam situasi begini, selalunya Uda yang bersama-sama mama dan papa. Semoga saya akan sentiasa ingat pengorbanan yang adik-adik saya lakukan saat saya jauh ini. Semoga saya akan sentiasa ingat ......

Semoga Allah permudahkan segala urusan kami sekeluarga. Mama dan Papa adalah kekuatan dalam perjuangan saya. Tetapi saya jarang berada di sisi mereka pada saat-saat sukar. Semoga doa saya untuk kesejahteraan, kesihatan, kemudahan, kesenangan hati, keampunan, dan segalanya untuk mereka diperkenankan Allah. Semoga mereka diberikan kesihatan dan kekuatan. Keampunan dan kerahmatan. Mereka adalah kekuatan saya, kegembiraan saya dan tempat saya mengadu segala cerita hidup ini. Kegembiraan mereka adalah ketenangan buat saya. Saya nak jadi anak yang lebih baik .....

Semoga Allah sentiasa bersama kami. Amin.

2 comments:

Amalina said...

camne papa nor? hope his health condition is getting better.

sapphire said...

he he he.....