Friday, July 25, 2008

Bila tuhan berbicara dan bila kita berbicara pada tuhan

Boleh saya katakan hampir setahun saya di Jepun, ini adalah ujian paling getir. Selama ini perjalanan kehidupan lancar dan penuh kegembiraan. Mungkin kerana itu, sudah tiba masa tuhan berbicara dengan saya dalam bicaraNya yang dalam. Mungkin juga sudah tiba masanya, saya mengurangkan gelak tawa yang sia-sia dan menyelam kembali erti perjalanan.

Saya keliru dengan perasaan sendiri. Risau dan gelisah. Kadang-kala mengundang air mata. Saya tanya pada diri...mengapa? Mengapa saya risau sedangkan saya tahu makna mehnah dan ujian kesabaran. Diri perlu tabah dan sabar. Tapi benar tabah dan sabar itu terlalu pahit. Kepahitannya mampu membunuh senyuman yang terukir. Juga mematikan gelak tawa dengan tiba-tiba.

Risau dan gelisah itulah makna kasih sayang. Kasih sayang yang tak mungkin sama walau dengan segunung intan. Kasih sayang insan-insan yang bernama ibu dan ayah. Wajar bukan, jika saya rasa 1001 macam perasaan saat ayah saya kesakitan terlantar di hospital. ... Dan ibu yang kian keletihan saban hati melaksanakan tanggungjawabnya. Semoga Allah ampuni dosa kedua mereka dan merahmati mereka hingga ke syurga.

10 hari mama ulang alik dari Muar ke Hospital Pakar di Melaka sendirian. Pagi ke sekolah, petang hingga malam menemani papa di hospital. Kemudian menghantar Syahmi ke sekolah dan tuition. ....dan saya tiada di saat-saat tenaga saya diperlukan.

Saya cuma mampu memberi perangsang buat mama. Setelah bertahun-tahun Allah beri kita nikmat kesenangan. Satu hari Allah tarik sedikit. Kita harus redha - kerana tiada satu apa pun yang sebenarnya mutlak milik kita. Kita diuji sedikit sebagai tanda kasihNya pada kita - DIA sedang berbicara pada kita sekeluarga - pada papa khasnya.

Juga pada Syahmi yang akan menghadapi SPM tahun ini. Walaupun dia yang bungsu, tak mustahil dia yang bakal menjadi anak yang paling kuat semangatnya. Atau paling tinggi tawakalnya. Semoga saya juga sentiasa kuat mendoakan mereka dari jauh. Ini adalah makna apa itu darah daging.

InsyaAllah, Selasa minggu hadapan, papa akan menghadapi major operation penggantian injap jantung. Papa perlu membersihkan gigi selama 2 hari sebelum menjalani pembedahan. Mama kata, hari ini papa asyik nangis. Papa takut sakit... Tapi papa harus kuat. Kasihan mama menghadapi hari-hari yang menguji mental, fizikal dan emosi.

Masa yang berlalu jadi begitu perlahan untuk bertemu titik kembali ke Malaysia. Beberapa bulan dulu, papa sihat. Tidak sampai setahun saya di Jepun keadaan berubah terus. Saya ingin papa sihat semula. Semoga Allah tidak menguji di luar kemampuan kami sekeluarga. Kami masih perlukan papa. Tambahan, masa saya di Jepun masih lagi panjang.

Saya serahkan doa dan harapan pada tuhan yang Esa. Kiranya, saya jarang-jarang berbicara denganNya - menyatakan cinta kepadaNya - mengagungkanNya - mencariNya - mendambakan Nya ...maka Dia datang berbicara dengan saya dengan ujian ini.

1 comment:

sweetrainbird said...

Dugaan hadir hanya untuk org2 yg terpilih dan disayangi Tuhan.