Tuesday, March 25, 2008

seminggu yang pantas.

Seminggu tidak mengisi entry blog terasa banyak sekali cerita yang tersimpan di dada. Seminggu bertungkus lumus melaksanakan impian para insan yang ingin menjadikan majlis sobetsukai sebagai satu kenangan buat mereka, menyebabkan masa berlalu begitu pantas. Siapa pun dan walau apa pun saya, saya telah laksanakan apa yang saya termampu. Walau pun ada pelbagai rasa yang tidak dapat saya ungkaikan, ia adalah satu pengalaman hidup dalam meniti waktu-waktu kritis krisis identiti diri - mencari kematangan dan menghargai kenangan.

Hari minggu yang tidak mengenal rehat dan tugas PhD yang merupakan tanggung jawab sebenar mengajar saya mengenal diri lebih jauh. Apa itu erti sabar, ikhlas, nilai kematangan, toleransi dalam prinsip, tegas dan displin, juga nilai pengertian, saya cuba pelajari dalam seminggu yang telah berlalu.

Saya belajar bersabar dalam melihat kerenah adik-adik mendewasakan diri dengan nilai tanggungjawab. Ada yang mampu memahami, ada yang tidak. Saya bezakan dengan zaman saya ketika sebaya mereka. Sangat jauh bezanya. Mungkin jika berada di tempat sendiri, jalan untuk dilatih memikul tanggungjawab lebih luas. Mungkin ruang lingkup mempelajari erti 'penghormatan' itu lebih diperlukan berbeza dengan mereka yang kembara jauh dari bumi sendiri. Di sini, mereka tidak berpeluang untuk melibatkan diri dengan politik kampus, atau memegang amanah sebagai AJK Persatuan/Kelab, atau mempelajari menguruskan majlis formal yang betul-betul formal, yang memerlukan keseriusan dan kematangan pemikiran dan moral.

Majlis sobetsukai , terlalu banyak ruang untuk dipelajari dan diperbetulkan.

Saya cuma berpendapat, adik-adik perlu banyak dilatih dengan nilai mengerti erti tanggungjawab dan kepimpinan. Lebih-lebih lagi, menghormati masa orang lain. Terlibat secara tidak sengaja di dalam aktiviti sobetsukai ini menjadikan saya terasa saya telah tersangkut dalam perangkap masa. Ianya tidak mudah ... Pun begitu, melihat backdrop hasil kerjasama adik-adik, mencairkan hati saya yang disalut pelbagai rasa. Ia adalah kenangan! Tahniah adik-adik...tetapi langkah masih terlalu jauh.

Lawatan ke Fukui-ken

Jalan PhD bukan semata-mata mendapatkan segulung sijil tertinggi akademik itu. Aktiviti luar sebenarnya banyak mengajar kita mendewasakan diri. Sebelum majlis sobetsukai, saya berpeluang menyertai lawatan lab ke Fukui-ken. Bulan Mac begini banyak benar majlis perpisahan berlangsung. Memberanikan diri bersama-sama rakan-rakan yang semua Jepun bukan mudah. Lebih-lebih lagi pada mereka, seorang muslim itu terlalu banyak restriction dan agak leceh. Toleransi amat diperlukan dalam menjaga hubungan ini. Pun begitu, saya beranikan diri meneroka dan mencari pengalaman melihat bagaimana budaya teman-teman berbangsa Jepun. Adakalanya saya merasa tidak selesa melihat mereka mabuk.

Ada banyak peristiwa menarik ketika bersama-sama mereka. Asalnya, saya, Nakai, Shiomi dan Yamamoto satu kereta dan bermain - 'nihon go' prohibited, English only. Dek kerana terlalu menumpu pada English,Yamamoto ditahan polis 2 kali kerana memandu dengan laju dan melanggar tembok. Kasihan Yamamoto. Bad day untuknya. Saya belajar melihat kekukuhan makna persahabatan di antara mereka dari masalah-masalah yang timbul.

Sebenarnya mereka ke Fukui-ken untuk ke onsen semata-mata. Malamnya, kami makan besar dengan hidangan ketam yang lazat. Ada hiburan karaoke dari Okada dan Yamamoto kerana mereka adalah kohai di dalam lab. Kemudian senpai tertinggi Nakai dan Shiomi menunjukkan bakat. Dan yang paling menarik ialah Yone dan Machan menari. Di dalam makmal, saya paling sukakan Machan kerana dia mesra dan berkarakter. Satu yang nyata, Nihon-jin sangat rajin pesta minum dan mabuk hingga ke lewat dinihari. Saya tidur awal. Prinsip dalam agama, harus saya jaga.

Selepas pulang dari bermalam di Fukui-ken, kami ada majlis perpisahan. Minum lagi. Ternyata ada drama tangisan. Kata-kata sensei agak menyentuh hati dan ada di antara mereka yang mengalirkan air mata. Bagi makmal saya, pemergian Wada, yang satu-satunya onna bagi pelajar-pelajar master, sangat memberi kesan.

Kemudian barulah saya terpanggil, 2011 nanti, yang tinggal hanya saya sendiri. Teman-teman seangkatan yang menjadi penglipur lara - Asyraf, Kak Fariha, Firdaus-kun, Kojek, adik-adik KIT sudah pulang ke Malaysia. Di mana ada pertemuan, di situ ada perpisahan. Yang menjadi kekuatan saya adalah masa depan. 3 tahun dari sekarang, jerit perih ini akan terbayar, insyaAllah. Air mata yang tumpah akan bertukar menjadi senjata kekuatan.

Semakin jauh saya melangkah, semakin banyak saya kenali diri.

Kadang saya rasa saya kuat, kadang saya rasa saya lemah. Moga kata-kata ini ada benarnya - "yang penting bukan di mana kita bermula, tetapi di mana kita berakhir."

Minggu untuk aktiviti luar telah tamat. Masa untuk kembali bekerja. Sakura ... ia tunggu saat untuk kembang!

1 comment:

M. H. Jabbar said...

hm..semakin jauh kita melangkah, semakin byk pengalaman kita dapat..supaya dpt menilai sesuatu perkara itu dgn perspektif lebih luas..

dan semakin byk dan semakin susah halangan kita hadapi, semakin matang kita akan jadi...dlm menghadapi halangan seterusnya...

namun...apa yg penting adalah kedua-duanya perlu disertai dengan pemikiran yg mendalam..utk mendapat kebaikan dan menghargai perjalanan dan pengalaman yg telah kita lalui...

teruskan usaha bro!