Wednesday, May 14, 2008

Mengapa saya perlukan usrah.

Buat masa ini, saya akan melalui hidup yang berlainan tanpa adanya sambungan internet di rumah. Mungkin mengambil masa sebulan atau lebih. Beberapa hari yang berlalu menjadi begitu berbeza tanpa ada satu-satunya medium hiburan paling penting bagi orang-orang seperti saya. Ketiadaan basikal dan internet membenihkan keinginan untuk memiliki scooter. Lebih mudah jika saya mempunyai satu medium lain yang menyenangkan saya ulang alik ke makmal. Tetapi, ….

Wang bukan masalah untuk menjadikan hidup selesa, mungkin, tetapi …..

Keselesaan selalu membuatkan kita lupa pada tujuan asal. Keselesaan tidak mampu membenihkan rasa sabar dan nikmat sebenar sebuah perjuangan. Keselesaan selalunya membunuh fokus. Keselesaan menyebabkan kehidupan saya hilang ‘spices’. Tetapi saya tidak tahu sampai bila saya boleh bertahan dalam kondisi ketiadaan sambungan internet dan perlu lebih dependent pada kedua belah kaki. Tanpa internet hidup memang terasa sedikit sunyi, tetapi kesunyian itu sebenarnya sangat indah.

Mengapa sunyi boleh jadi indah. Dengan kesunyian dan kesepian sebenarnya pandangan tentang hidup akan lebih terfokus. Akan lebih serius.

Pada minggu yang lalu, alhamdulillah, dikuatkan juga kaki saya melangkah mencari sumber internet untuk satu tujuan yang baik. Akhirnya termakbul satu usrah online yang disertai oleh adik Inda dari Nagoya, adik Meen dari Ibaraki, Farah dan saya dari Kyoto. Usrah online lebih santai tetapi ia adalah satu permulaan yang bagus untuk sebuah hati yang kering dan tandus dari ilmu pengisian rohani.

Usrah bukan sesuatu yang berat. Usrah di ambil dari perkataan bahasa Arab yang membawa maksud ‘keluarga’. Menurut Imam Hassan Al Banna, rukun-rukun usrah terdiri dari 3 bahagian iaitu taaruf ( berkenalan), tafahum ( bersefahaman) dan takaful (saling bantu membantu). Inda sebagai naqibah pada usrah yang lalu telah mengenalkan kami kepada 5 M dalam menuju ketaqwaan iaitu muahadah (perjuangan), muraqabah (ihsan), muhasabah, muaqabah (deraan/denda) dan mujahadah. Walaupun usrah dalam keadaan conference YM yang santai tetapi ia cukup bermakna buat saya.

Saya mengenali usrah semenjak di zaman persekolahan. Tetapi aktiviti usrah lebih aktif apabila saya berada di Pusat Matrikulasi Kuala Pilah. Kemudian, apabila menjadi penuntut di UKM, bilik saya di kolej kediaman Ibrahim Yaakob bersebelahan dengan musolla yang memang aktif dengan aktiviti usrah. Tiada aktiviti usrah ketika saya menjadi pelajar master di UTM dan ketika bertugas di UTHM, kadang kala saya mengikuti kelas tajwid untuk staf (walaupun tidak ramai yang mempunyai inisiatif untuk mengikuti). Agak lama juga saya tidak mengikuti usrah. Terus terang saya katakan, saya tidak pernah istiqamah dengan usrah. Saya ikuti apabila saya rasa saya perlu ikut. Saya tinggalkan apabila saya rasa saya tidak memerlukannya.

7 bulan di Jepun, jiwa saya semakin mendambakan pengisian dan peringatan. Saya ada pilihan untuk jadi terus lalai atau kembali ke matlamat asal perjuangan ilmu. Saya akui saya ada banyak kelemahan dan tidak mampu membenteng diri dari sikap menzalimi diri sendiri. Teringat saya pada pesan seorang sahabat – ilmu pengisian rohani tidak akan datang sendiri, ia perlu dicari. Maka carilah sementara kudrat masih terdaya.

Di sini,bagi saya medium peringatan yang terbaik ialah usrah. Biarpun ia dilaksanakan hanya satu kali seminggu namun saya sangat berharap agar ada air dingin yang dicurah pada jiwa saya yang keras. Lebih-lebih lagi sendirian dalam meniti perjuangan yang mencabar tanpa ayah dan ibu untuk mengingatkan. Banyak benar perkara yang telah saya lupa dan saya tinggal. Benteng diri saya benar-benar teruji dan saya hanya ingin belajar kembali.

Suatu hari nanti, Allah mungkin beri kita peluang untuk menjadi seorang ibu atau ayah atau pemimpin. Tanpa persediaan tentang ilmu sebegini, kita tidak mampu menghasilkan ‘produk’ yang terbaik. Pada saat ini, saya akur, usrah sebenarnya tidak pernah menjadi sesuatu perkara yang berat. Tetapi hanya hati saya yang memberatkannya. Apabila manusia benar-benar dahaga, dia akan mencari mata air. Pada ketika itu, hanya kasih sayang Ar Rahman akan membawanya ke mata air itu.

1 comment:

setanjp said...

Mung nih... dah jadi budak sekolah pun nak bising dahaga ilmu pulok doh.
Dah belajar abis doh yg kerajaan mung bayo mung mai sini?
Dahage sangat, mung pi rebus air buku kat library tu minum sampai hilang dahaga.
Dah tok nak blajo mung banyok cite eh.
Sekali aku 'swing'...Ping!!! Berpusing.... mcm gasing laaa