Monday, August 11, 2008

Dalam setiap diri, Ada seorang Juara

belakang ; mon, mahendra, asyraf, kojek, daus
depan; mek, yana, pae, muji,saya

No mountain too high for you to climb
All you have to do, is have some kind in faith
No river is too wide to make it across
All you have to do, is believe when you pray

Pada saya ini adalah kuasa minda luar sedar yang dinamakan sebagai impian dan telah direalisasikan dengan bantuan kawan-kawan. Keindahan pendakian ke puncak Fuji, menelusup ke jiwa saya setelah dua hari kembali dari ekspidisi tersebut. Banyak yang saya belajar tentang keupayaan diri ( diri saya sendiri dan potensi pendaki-pendaki yang lain.)

Perjalanan ke Puncak Fuji memang mencabar, di mulakan dari base 5 selepas makan tengah hari menuju ke base 8. Laluan agak mudah di atas 2390m dari paras laut. Tidak terlintas lagi di kepala kami, bentuk cabaran apa yang bakal dihadapi di hadapan. Sesekali ada kuda hokaido yang sangat besar dan gagah melintasi kami para pendaki membawa penumpang turun. Kagum dengan struktur sasa kuda-kuda tersebut menyebabkan team kami agak riuh.

Semakin tinggi, pendakian semakin sukar. Laluan laterit mula kelihatan, dan batu-batu kecil menyukarkan perjalanan. Pihak pengurusan Gunung Fuji sangat aktif menyediakan kemudahan bagi para pendaki dengan menyediakan laluan bertangga yang agak mudah. Juga sistem retaining wall bagi menjamin keselamatan agar tidak berlakunya rock falling lebih-lebih lagi dalam cuaca buruk. Bukan main ramai orang memanjat Gunung Fuji. Mujur cuaca 8 Ogos sangat cerah dan damai . Mungkin di bawah awan, bumi Jepun di timpa hujan, tetapi kami telah berada di atas laluan awan dengan sesekali angin sejuk menerpa. Batu-batu besar mula kelihatan untuk kami membesarkan langkah. Cabaran sudah bermula. Kepelbagaian personality, aksi, dan keupayaan mulai kelihatan. Silap saya yang paling besar ialah menikmati Coke saat oksigen diperlukan. Saya mulai pancit selepas menikmati Coke dengan penuh rasa nikmat di atas awan. Pae yang pada mulanya bersama-sama saya, sudah jauh di hadapan.

Teman-teman yang lain masih gagah membuat lelucon dan aksi yang menggelikan hati mengurangkan kesukaran pendakian. Tetapi bagi saya, hari pertama untuk sampai ke base 8, saya benar-benar pancit. Kami tidak henti-henti mengira hut perhentian untuk cepat sampai ke tempat rehat. Saya hampir-hampir tidak dapat bercakap. Apatah lagi melihatkan kawan-kawan yang masih genki ke hadapan, rasa sedih dengan keupayaan diri mulai menguasai. Suhu semakin sejuk pula tu. Mungkin apa yang mek rasa, adalah lebih-lebih lagi.

Kami diberi makan dan rehat di base 8. Dapat berbaring di atas futon, membersihkan diri, dan bersolat sedikit mendamaikan hati. Dari atas, dapat kami lihat lampu-lampu neon jauh di bawah Yamanashi Perfecture. Setelah berborak-borak kecil, dan diberikan tips untuk mengatasi kesejukan oleh kawan-kawan, juga menulis kad berwajah Gunung Fuji buat keluarga dan teman rapat, saya masuk untuk tidur. Tidak terjangkau di minda saya bagaimana rupa track ke puncak yang seterusnya. Tetapi, saya berdoa agar segalanya lancar.

Pendakian ke puncak bermula pada pukul 1.00 pagi. Objektif kami ialah matahari terbit. Kali ini saya betul-betul mahu bersedia. Dari base 8 dapat dilihat kerlipan lampu-lampu para pendaki yang telah menuju ke puncak. Kami bergerak lebih perlahan, kerana terlampau ramai pendaki yang hendak naik. Pada awalnya saya mengikut Pae dan Firdaus dengan rapat. Tetapi apabila separuh jalan ternyata saya tidak mempunyai stamina seperti mereka. Lagipun, tiba awal bukanlah matlamat saya. Saya lebih suka berjalan perlahan dan menikmati makna langkah yang saya atur untuk tiba ke puncak. Saya suka rapatkan diri ke tebing agar senang saya berpegang pada batuannya, selain dari stick yang telah dibeli.

Sejuk tidak terasa, kerana para pendaki berjalan terlalu rapat di antara satu dengan lain. Sesekali saya terhibur dengan gelagat teman-teman sependakian mengira jarak. Semakin dihitung, semakin jauh rasa perjalanan. Semakin tinggi kami memanjat, semakin banyak lirik-lirik puitis kedengaran. Juga, semakin jelas bintang-bintang di langit menandakan hari semakin menjelang subuh dan kami tidak punya banyak masa untuk mengejar matahari naik. Pengalaman mendaki di malam hari, lebih banyak memberikan kesan dalam diri saya.

15 minit sebelum matahari naik, pengumuman untuk semua pendaki agar mempercepatkan langkah dilakukan. Saya terpaksa mengejar teman-teman yang mulai melaju. Saya gagahkan juga walau sesekali terasa sakit sekali di kaki. Sesekali Asyraf menanti untuk saing bersama. Sebenarnya Asyraf banyak memberi motivasi secara tidak langsung malam itu termasuk mendendangkan beberapa lirik lagu yang tidak berapa kena. ( L O L ). Juga baju sejuk yang sudi dipinjamkan. Memang agak touching buat saya sebenarnya. Terima kasih daun keladi. Saya sangat menghargai. Kami berjaya tiba di atas, sebelum nyanyian menyambut matahari terbit dilakukan. Ramai sungguh manusia. Malangnya bagi saya kimochi tidak berapa terasa dek kerana kepenatan. Sebaik sampai, saya solat subuh secara duduk. Kojek mulai mengeluarkan bendera Jalur Gemilang, dan mengambil gambar matahari naik.

Tepat naiknya matahari, lagu berkumandang. Lagu apa saya tidak pasti. Tetapi orang-orang Jepun menyanyikannya penuh bangga. Kemudian ucapan tahniah buat semua pendaki yang berjaya diberikan beserta tepukan. Jika diingat-ingat semula, pengalaman seperti itu, mungkin tidak dapat dilupakan. Kami sepuluh orang pendaki dari Kyoto bergambar dengan Jalur Gemilang, membelakangkan matahari pertama 9 Ogos 2008!!

Perjalanan turun

Perjalanan turun lebih sukar dan curam. Kami dapat menikmati pemandangan beberapa tasik yang terdapat di sekeliling Gunung Fuji. Kami juga terpaksa menentang matahari pagi. Seperti biasa Pae dan Firdaus meninggalkan kami lebih awal. Ibu jari kaki saya mulai terasa sakit. Ibu jari kaki kanan sudah mulai melecet dan tekanan demi tekanan di kaki akibat penurunan menyebabkan jari terasa seperti mahu keluar dari kasut.

Tanah laterit berbatu-batu kecil menyukarkan lagi pergerakan. Tetapi akhirnya kami berjaya sampai sebelum pukul 10.00 pagi. Saya sudah tidak bertenaga untuk membeli omiyage. Setelah membeli selipar, saya hanya duduk bersila – menanti waktu bas tiba membawa kami ke onsen. Ah! Tamat sudah satu ekspedisi mengenal potensi diri! Saikoudatta!

Konklusi.

Bagi seorang seperti saya, ekspedisi seperti ini, biarpun meletihkan – ia adalah perkara yang bermakna. Saya sukakan perkara yang adventure dan mencabar kemampuan diri, biarpun ketahuan saya tidaklah sehebat mana. Saya banyak mengenali dan menyemak kembali kekurangan diri. Ternyata terlalu banyak yang perlu diperbaiki. Mendaki gunung ibaratnya kita mendaki impian dalam hidup. Bila kita mendaki bersendirian, mungkin perjalanan akan lebih perlahan, tetapi mungkin juga boleh jadi lebih kuat semangat untuk survive. Boleh jadi juga, perjalanan akan jadi lebih laju, dan di akhirnya kita beroleh kepuasan seperti Pae dan Firdaus.
Tetapi bagi pasangan Mek dan Mon, pendakian ke Fuji menggambarkan banyak pengorbanan dan saling mengasihani perlu ada dalam hidup. Juga tingkah Muji yang selalu berada di sisi Yana memberi sokongan dan bantuan biarpun diri sendiri tidak mempunyai kelengkapan yang cukup. Bagi saya Muji sangat lelaki!!


Tidak lupa buat Mahendra yang juga caring kepada kawan-kawan dan kegigihan jelas terpancar dalam diam. Sungguh mengagumkan. Apatah lagi gandingan Asyraf dan Kojek yang tinggi keazaman dan semangat. Saya berpeluang mengekor mereka dalam perjalanan turun, dan mereka tidak putus-putus berbual, tidak penat dan tidak perlukan rehat yang panjang. Determination – satu perkataan yang keluar dari mulut Kojek yang saya bakal cari dalam diri saya.

Impian mendaki Fuji telah tercapai. Masih banyak lagi pendakian dalam hidup yang menanti. Mungkin lebih sukar, lebih sendiri dan lebih sunyi…..Ini hanya separuh dari kisah realiti, saya galakkan agar masing-masing cuba mencari erti pendakian Fuji ini sendiri. Cuba jangan tak cuba.

Terus Bertabah.


p/s: gambar upload di Friendster. huhu^^

1 comment:

June said...

WOWWWWWWWWWWW...