Thursday, October 16, 2008

Saya mahu jadi pandai!

Masa kecil-kecil seusia anak-anak sekolah rendah, saya selalu melaungkan pada diri bahawa saya mesti jadi pandai. Mesti dapat no 1. Mesti lebih terror dari kawan-kawan. Kawan-kawan saya di sekolah rendah bukan calang-calang. Saya masih ingat wajah mereka satu persatu. Alhamdulillah, semuanya sudah berjaya menjawat jawatan yang mereka impikan Hidup senang dan bahagia. Pagi ini, saya cuma mahu menyelami semula zaman fighter seorang anak kecil yang pernah ada dalam diri saya.

Mama selalu membawa saya mengikuti rombongan sekolahnya. Jadi, saya beroleh kawan lain yang bukan sama sekolah iaitu anak-anak murid mama dan anak kawan-kawan mama. Entah bagaimana, rasa ingin selalu jadi no 1 ini selalu ada dalam diri, terutama dalam pelajaran. Setiap kali musim peperiksaan, keputusan peperiksaan di antara saya dan anak-anak kawan mama akan dibanding-bandingkan. Mulai darjah 3, saya tidak pernah tidak dapat no 1. Jadi ketika darjah 4, saya lompat ke kelas anak-anak orang yang hebat. Kawan-kawan saya terdiri dari anak-anak cikgu juga, tetapi kebanyakan mereka anak bungsu dari cikgu-cikgu sekolah menengah atau Pengetua atau Guru Besar. Jadi mereka selalunya popular dalam kelas berbanding saya.

Saya sebenarnya selalu rasa rendah diri melihat kawan-kawan lain yang saya rasa lebih pandai. Saya sebenarnya selalu rasa tidak hebat. Tetapi saya mesti dapat no 1 untuk buat mama dan papa rasa bangga. Hingga satu hari bakat saya dikesan oleh guru Pendidikan Islam. Mulai itu, saya mewakili sekolah dalam pertandingan bercerita melalui kisah Al-Quran. Kemudian, saya menjadi aktif dalam pelbagai pertandingan dan kuiz kecuali sukan hingga bersaing dengan seorang lagi teman untuk menjadi pelajar terbaik sekolah. Seorang guru kata saya seorang yang candi bermaksud berani. Lebih-lebih lagi yang melibatkan debat, bercerita atau berlakon. Pada ketika itu saya sedar saya sudah sebaris dengan kawan-kawan yang saya anggap hebat pada awalnya tadi. Mereka masih lagi terus hebat di mata saya hingga sekarang. Terima kasih buat cikgu tersebut kerana saya menemui titik keyakinan bermula dari situ.

Saya hanyalah anak kepada seorang cikgu Bahasa Melayu di sekolah rendah. Dari kecil saya memang suka membaca buku-buku puisi. Baca puisi kuat-kuat ialah hobi saya, dan selalu berangan-angan mementaskan puisi di hadapan orang ramai. Ayah saya pula seorang pegawai biasa dalam RISDA yang bermula dari bawah. Jadi kehidupan saya semasa kecil adalah biasa-biasa. Yang luar biasanya pada ketika itu ialah kerana saya anak dan cucu sulung dalam kedua-dua keluarga, jadi perhatian lebih tertumpu kepada saya. Jadi untuk memastikan perhatian kepada saya tidak pernah kurang, saya mesti jadi pandai!

Alhamdulillah, saya memang telah menjadi 'pandai' hingga saya dapat menjejakkan kaki ke bumi Kyoto ini. Tetapi kepandaian itu bukan milik saya. Ia datang dari rezeki Allah. Hakikatnya, seperti yang saya rasa sekarang ialah betapa saya tidak layak menjadi pelajar PhD di Kyoto University yang banyak mengeluarkan orang yang hebat-hebat. Malah jika saya disuruh membaca puisi pun, masih ramai yang mampu menghasilkan puisi yang lebih indah dari saya (ini ayat cliche) Teman-teman di sekeliling saya hebat-hebat belaka. Ini membuatkan saya sedar bahawa Allah yang merangka sama ada saya bakal menjadi lebih 'pandai' atau tidak. Dan, dunia ini masih ada ramai lagi orang yang 'pandai'!


Pokok pangkalnya, berada di dalam situasi yang dilingkari oleh orang-orang yang hebat akan menjana kita berusaha menjadi orang yang hebat juga. Merasakan diri agak ketinggalan, saya terdengar suara anak kecil yang ada dalam diri saya bertahun-tahun yang lepas menjerit – Saya juga mahu jadi pandai!

Mungkin saya tidak dapat menjadi naga, tetapi proses pembelajaran dan perjuangan di sini saya harap akan menjadikan saya sebutir mutiara.InsyaAllah.

p/s: suka tengok anak-anak kecil yang dalam proses pembesaran, kerana di situ mungkin ada diri kita!

No comments: