Thursday, June 25, 2009

sikap tamak tidak boleh ada dalam kejuruteraan

Melihat dokumentari berkenaan tragedi empangan pecah di Stava, Italy di salah satu saluran dokumentari di Astro menguatkan lagi pendirian saya bahawa ketamakan akan membawa bencana. Tragedi yang mengorbankan 268 nyawa pada 19 Julai 1985 itu diakibatkan oleh sikap tamak pemaju lombong yang tidak bersetuju untuk menanggung kos keselamatan yang tinggi sedangkan laporan penyelidikan telah dikeluarkan bahawa empangan kedua yang dibina oleh mereka bagi menampung sisa perlombongan adalah tidak selamat. Kawasan penempatan di kaki pergunungan Alphine itu akhirnya tertimbus oleh banjir lumpur apabila empangan kedua yang dibina di atas empangan pertama tidak dapat menampung beban air limbah dari lombong bahan pembuat kaca dan menyebabkan kedua-dua empangan itu pecah.

Kilang kayu

Kemudiannya, saya terus mengaitkan permasalahan ini dengan persekitaran tempat kerja saya di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM). Tidak boleh dinafikan bahawa sudah banyak kali aduan dilakukan berkenaan masalah kilang kayu di sebelah universiti yang mengganggu kesihatan dan keharmonian bukan sahaja warga universiti malah penduduk setempat. Tetapi aduan ini seolah-olah tidak di ambil endah atas alasan bahawa kilang kayu itu dibina sebelum kewujudan UTHM lagi.

Tetapi bagaimana pula dgn kesihatan para pelajar dan suasana pembelajaran tidak kondusif yang terpaksa mereka hadapi. Mungkin kira-kiranya nampak tidak serius bagi sesetengah pihak kerana kesannya adalah jangka panjang. Bagi menghasilkan para jurutera yang cekap, modal yang bukan sedikit telah dilaburkan untuk prasarana dan insfrastuktur sesebuah universiti. Sayangnya, para pelajar yang menghidu bau-bauan bahan kimia selalunya tidak dpt menumpukan perhatian , sakit kepala dan mengalami masalah pernafasan. Malah mereka sering tidak dapat mengulangkaji pelajaran dengan baik. Mungkinkah kerana kos pemindahan kilang kayu adalah terlalu tinggi maka kesihatan para pelajar dan staf harus menjadi bayaran untuk itu? Bagaimana pula dengan persepsi para pelajar ini terhadap etika kejuruteraan yang mereka pelajari di dalam pengajian sedangkan persekitaran mereka menunjukkan realiti yang sebaliknya?

Jalan Ayer Hitam – Batu Pahat

Juga telah diketahui umum bahawa Jalan Ayer Hitam – Batu Pahat yang telah dinaik taraf sejak tahun 2006 merupakan jalan raya yang paling merbahaya dengan jumlah korban tidak kurang dari 36 kematian dengan anggaran 1000 kemalangan setiap tahun. Secara logiknya, pemanduan laju di jalan ini tidak boleh dibenarkan kerana kawasan tersebut merupakan kawasan penempatan luar bandar selain mempunyai universiti, sekolah, pusat-pusat latihan, dan kilang. Tetapi secara psikologinya, semakin luas dan selesa jalan raya yang disediakan semakin tinggi keinginan untuk memandu laju. Pihak berkuasa perlu mencari kaedah kejuruteraan yang terbaik untuk mempengaruhi psikologi pengguna jalan raya agar tidak memandu laju di kawasan tersebut sebagaimana yang telah digunakan oleh banyak negara-negara maju bagi mengatasi masalah kemalangan jalan raya.

Sesuatu kawasan yg membangun tidak dikira dari kelajuan pengguna jalan raya tetepi diukur dari aspek keselamatannya. Kos RM50 juta yang diumumkan oleh Datuk Shaziman Abu Mansor. Menteri Kerja Raya untuk membaiki taraf keselamatan Jalan Ayer Hitam – Batu Pahat ini mungkin satu nilai yang besar tetapi jika dihitung kos jangka masa panjang ia tidak setinggi kos yang melibatkan kehilangan nyawa terutama para penuntut universiti yang merupakan pelapis para jurutera di masa akan datang.

Berada di dalam situasi ini, para pelajar kejuruteraan UTHM seharusnya dapat melihat dgn jelas bahawa ketamakan dan sikap tidak mengambil berat di dalam kejuruteraan membawa kesan negatif kepada masyarakat. Tidak dinafikan bukan sahaja di kawasan Parit Raja malah di Malaysia sendiri kesedaran tentang etika kejuruteraan masih cetek. Jika tidak masakan begitu banyak bencana akibat dari kesilapan kejuruteraan berlaku. Bagi pihak penyelidik UTHM, ini adalah cabaran dalam penyelidikan kerana kajian dan analisa yang mampu memperbaiki masalah setempat itu mendatangkan faedah bersama. Bidang kejuruteraan bertujuan membangunkan negara tetapi kejuruteraan tanpa kesedaran dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat hanya akan memburukkan keadaan.

Kesimpulannya,pengajaran dari tragedi empangan pecah di Starva,Itali adalah hampir serupa dengan permasalahan di negara kita sendiri. Jika pemaju lombong pada awalnya bersetuju dgn kos keselamatan tinggi tersebut ia mungkin dapat menyelamatkan ratusan nyawa yang terkorban serta kenangan pahit yang tidak terganti dengan wang ringgit.

No comments: